misteri rumah kayu dulukala

Rumah Melayu dahulukala

Ruslina Ruslin, 28, gembira dapat membina sebuah kediaman tradisional Melayu di bandar raya Alor Star.




SI bapa pernah memberitahu anak gadisnya: “Suatu hari ayah akan berhenti untuk melihat rumah ini tetapi pada masa itu ia bukan lagi milik ayah.”

Si bapa sebenarnya bercadang untuk menjual rumah tradisional Melayu itu.

Namun si anak, Ruslina Ruslin, 28, tahu bapanya, Ruslin Long, 56, sekadar ingin menguji sejauh mana sayangnya beliau pada rumah yang baru sebulan didiami itu.

Terletak di celah-celah deretan rumah berstruktur konkrit di Jalan Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pengguna jalan raya yang melepasi Plaza Tol Utara, Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke bandar raya itu pasti terpegun melihat rumah berwarna coklat itu.

“Pernah ada seorang wanita turun dari keretanya dan menadah tangan seperti berdoa. Wanita itu kemudian memberitahu saya yang dia bersyukur kerana di sebalik rumah-rumah batu di bandar itu masih ada rumah kampung di sini,” cerita Ruslin, seorang peniaga.


KONSEP tandas dan bilik air di luar rumah menyempurnakan reka bina lama ini.


Melangkah masuk ke perkarangan kediaman ini, mata pantas terpaku pada pagar buluh yang diselang-seli dengan dawai besi. Ia sinonim dengan masyarakat Melayu dulu-dulu yang memagari rumah mereka menggunakan sumber dari alam semula jadi.

Perasaan kagum terus menyelubungi tatkala kaki memijak kulit siput-siput laut dan batu-batu sungai yang dijadikan hamparan di halaman rumah.

“Penggunaan siput laut lebih mesra alam kerana selain berupaya menyerap air, ia juga mudah dijaga,” kata Ruslina, seorang graduan seni bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Tempayan di kaki tangga

Tangga yang membawa pengunjung ke dalam rumah pula dibina secara terbuka sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu.


RUSLIN menambah nilai nostalgia kepada rumah lama idamannya itu dengan mengadakan acara mengacau dodol sempena Aidilfitri lalu.


Seperti lazim bagi masyarakat Melayu membasuh kaki terlebih dahulu sebelum memasuki rumah, sebuah tempayan dan timba yang diperbuat daripada upih disediakan di kaki tangga.

Sebaik saja memijak beranda, dua buah bangku kayu panjang sedia menanti untuk tetamu melabuhkan punggung sambil menghirup udara segar dan memerhati pemandangan sekeliling.

“Pemidang atas yang diperbuat daripada kayu cengal dan diukir awan larat ini pula menjadi sisir atau laluan angin yang dapat memberi keselesaan kepada tetamu yang ingin bersantai di beranda ini,” terang Ruslina.


RADIO antik menghiasi rumah Ruslina.



RUSLINA (kiri) meneruskan impian bapanya, Ruslin.


Setelah menghilangkan lelah, serambi pula menunggu dengan hamparan tikar mengkuang. Tanpa set sofa, tetamu hanya duduk bersila atau bersimpuh yang sinonim dengan budaya Melayu dahulukala.

Di sini, sekali lagi keunikan kediaman ini terserlah dengan kehadiran sebuah radio lama dan kepala rusa di dinding yang selalunya digunakan untuk menyangkut kopiah atau baju.

Memerhati dinding kelarai buluh, mata dihidangkan pula dengan susunan lukisan yang menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu yang mengerjakan sawah, kanak-kanak bermain basikal dan pemandangan kampung.

“Serambi ini dihiasi dengan sisir udara dan jeriji terbuka bagi memudahkan pengaliran udara dan membolehkan rumah ini ‘bernafas’ dengan mudah,” ujar Ruslina, pemegang Sarjana Pengurusan Pembinaan Bersepadu dari UiTM Shah Alam.

Bagaimanapun, rumah ibu sangat berbeza daripada konsep beranda dan serambi. Ia sebaliknya dilengkapi perabot yang disusun rapi.

Di sudut tepinya terdapat sebuah meja solek, sebuah meja untuk membuat kerja dan sebuah meja bulat beserta dua buah kerusi rehat.

Konsep moden rumah ibu

Mata turut tertarik pada katil bercadar putih dan kertas dinding dengan rona lembut. Hamparan permaidani biru tambah menaikkan seri rumah ibu itu.

“Rumah ibu direka luas tanpa sebarang penghadang bagi keselesaan penghuni.

“Di sebalik keunggulan ciri-ciri tradisional bagi rumah ini, saya menyelitkan elemen moden bagi rumah ibu,” ujar Ruslina lembut.

Menjenguk belakang rumah ibu, terdapat satu sudut berlantai kayu yang dikenali sebagai pelantar gincah yang digunakan sebagai tempat untuk membasuh pakaian.


DARI ATAS IKUT ARAH JAM:
SISIR dan kekisi yang membenarkan udara keluar masuk rumah.
AMALAN membasuh kaki dengan menceduk air dari dalam tempayan menggunakan batok masih dikekalkan.
DAPUR kayu mampu menghidupkan nostalgia.
TANGGA yang dibina terbuka seolah-olah mengalu-alukan kedatangan tetamu.


Mengekalkan persekitaran rumah kampung, sebuah perigi turut dibina dengan timba daripada upih dan bilik air yang terletak bersebelahan.

Keliling rumah pula diindahkan dengan tanaman dan tumbuhan herba seperti serai, daun pandan, cili, pokok kelapa selain pokok bunga termasuk melur dan bunga kerak nasi.

“Tumbuhan hijau itu dapat menambahkan lagi seri persekitaran rumah di samping memberi ketenangan kepada penghuni,” kata Ruslina yang memberitahu aktiviti mengacau dodol buat pertama kali diadakan di pekarangan rumah itu sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.


DARI ATAS IKUT ARAH JAM:
BAWAH rumah dengan binaan tiang tinggi.
BERANDA menjadi perhentian pertama rumah Melayu lama.
REKAAN moden menghiasi bilik tidur di rumah ibu.SERAMBI yang dihampar tikar mengkuang sangat sinonim dengan gaya hidup masyarakat dahulukala.


Si bapa yang tertarik dengan topik itu mencelah bahawa ia diadakan bagi mengimbas nostalgia mengacau dodol menjelang raya semasa di kampung.

“Saya menjemput staf-staf RNA Design serta rakan-rakan daripada pelbagai kaum untuk berkongsi pengalaman memasak hidangan tradisional itu,” ujar Ruslin ceria.

sumber~kosmo

2 ulasan:

Unknown said...

Assalamualaikum....cantiknya................hidup melayu

firdaus mohd nor said...

salam..boleh saya tahu lebih detail macam nak ke rumah ini..saya nak buat assignment pasal rumah tradisional...dan rumah ni menjadi tarikan saya..saya harap saudara dapat membantu saya..boleh hubungi saya di no ni..0174141560..terima kasih..positive feedback is aspected...:)

Post a Comment

binatang aneh

misteri kehilangan nelayan

kubah terbang dengan sediri

misteri kalimah allah

kalimah allah di batang pokok

Search This Blog