KUALA LUMPUR – Gegaran susulan dijangka berterusan untuk beberapa hari lagi ekoran gempa bumi berskala 7.6 Richter yang berlaku di Padang, Sumatera Barat kelmarin.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang kerana kekuatan gempa bumi susulan yang berlaku semalam dan beberapa hari akan datang dijangka semakin lemah, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).
Sejak kelmarin, agensi itu melaporkan berlaku lapan gegaran susulan yang direkodkan berskala 4.5 hingga 6.8 Richter.
Satu daripadanya sekuat 6.8 skala Richter yang turut dirasai di Semenanjung pada pukul 9.53 pagi semalam iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“JMM akan sentiasa memantau dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku serta mengeluarkan amaran sekiranya berlaku ancaman tsunami kepada Malaysia,” katanya.
Menurut JMM, gempa bumi yang menyebabkan ramai terkorban dan kemusnahan yang teruk di Padang telah menyebabkan kejadian tsunami kecil setinggi 0.27m sekitar Padang tetapi ia tidak mengancam Malaysia.
Sementara itu di Johor Bahru, warga bandar raya itu dikejutkan dengan satu lagi gegaran semalam.
Gegaran pada pukul 9.52 pagi itu menyebabkan beratus-ratus pekerja dan orang ramai yang berurusan di bangunan tinggi bergegas turun menyelamatkan diri.
sumber diperolehi dari kosmo
0 ulasan:
Post a Comment